Monday, June 14, 2010

Zaman Sekolah Rendah

Tahun 1991, Wan Saiful mula didaftarkan di sekolah rendah bersama rakan sebayanya yang lain, Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Langat menjadi sekolah pertama bagi Wan Saiful secara rasminya. Tetapi, masalah yang sama berlaku semasa zaman tadikanya berulang, Wan Saiful amat payah untuk disuruh bersekolah. Beliau yang ketika itu baru mencecah usia 7 tahun hanya akan ke sekolah jika ditemani oleh samada bapanya, ibunya atau saudara terdekatnya yang lain. Ketika itu namanya telah mulai popular di sekolah tersebut disebabkan perangainya itu. Semasa darjah 2 dan 3 agak kurang masalah itu berlaku, tetapi pada pertengahan darjah 4, selepas kematian datuk dan nenek yang dikasihi, Raja Bazian Bin Raja Heran (27 April 1994) dan Raja Raihah Binti Raja Yaakob (5 Januari 1994) ‘penyakit’ tidak mahu ke sekolah kembali lagi pada Wan Saiful. Kali ini agak hebat cabarannya, sehinggakan beliau pernah dipujuk oleh Guru Besar dan duduk seharian bersama Guru Besar SRK Sri Langat ketika itu, Mohd Yusof Bin Sanib di biliknya, semata-mata untuk mengatasi masalah tidak mahu ke sekolah yang dihadapinya. Pada tahun itu juga, bapanya telah mengambil tindakan memindahkan Wan Saiful ke sekolah tempat beliau bertugas sebagai Penyelaras Pusat Kegiatan Guru di Sekolah Kebangsaan Batu Laut, dan Wan Saiful sempat bersekolah di situ selama lebih kurang sebulan lebih sebelum dipindahkan kembali ke Sekolah Kebangsaan Sri Langat kerana bapanya akan dihantar berkursus dalam jangkamasa yang agak lama.
Berada dalam darjah 6 adalah antara waktu yang paling menyeronokkan dalam zaman persekolahan Wan Saiful, kerana ketika ini beliau telah mula berdikari dan seronok dengan persekolahan, kawan-kawan yang semakin ramai. Pada pertengahan darjah 6 ini juga Wan Saiful telah terlibat dalam kem yang pertama dalam hidupnya, Kem Waja Diri yang dianjurkan julung-julung kali oleh sekolah tersebut dan ini juga adalah program pertama yang memisahkan beliau dengan keluarganya walaupun hanya untuk 4 hari dan 3 malam, tetapi itu amat menyeksakan bagi Wan Saiful yang begitu manja dengan keluarganya. Sepanjang program tersebut, Wan Saiful telah menitiskan airmata beberapa kali kerana terkenangkan keluarganya. Apapun, program tersebut telah banyak memberi pengalaman baru kepadanya. Tahun ini juga merupakan tahun bagi beliau menghadapi peperiksaan UPSR, dan alhamdulillah dengan berkat doa dan usaha beliau dapat mencapai keputusan yang agak baik. Keputusan UPSR beliau adalah 2A 2B (A=B.Melayu Pemhaman, Matematik B=B.Melayu Penulisan dan Bahasa Inggeris).

No comments:

Post a Comment