Wednesday, June 9, 2010

Nostalgia Cikgu Zaman Dulu..

Sumber : http://www.gurubesarpencen.com/?cat=18

Guru yang tidak membebankan

Seronok sungguh. Di sana sini, dari guru hingga ke menteri memperkatakan mengenai beban guru. Melingkar-lingkar fikiran membayangi berbagai pendapat dan andaian mengenainya. Adakah ini perkara baru ?. Apakah guru dahulu tidak dibebankan ? Jika dibuat perbandingan tugas guru sekarang dan tugas guru dahulu sudah cukup untuk menjawab soalan-soalan di atas.

Sebelum pelaksanaan KBSR, saya mengajar di sesi petang. Bangun tidur hari sudah meninggi. Singgah di kedai sebelum ke sekolah untuk bersarapan tengahari. Masih bujang. Seingat saya tiada apapun yang saya bawa dalam peti motosikal Vespa saya, Mungkin (kalau ada) kasut getah untuk bermain sepak takraw selepas sekolah nanti. Mungkin juga terselit dua batang pen dipoket, satu merah dan satu lagi biru. Tiada ada lain-lain bekalan selain daripada bekalan kegunaan peribadi.

Sampai di sekolah pun begitu juga. Mencapai buku ringkasan dan dua tiga buah buku terus masuk ke kelas dan mengajar. Buku panduan memang ada dan ada sedikit-sedikit buku teks murid. Begitulah seharian mengajar. Rehat hanya waktu rehat dan waktu guru agama masuk kelas saya. Waktu Bahasa Inggeris di kelas saya, saya mengajar Bahasa Melayu di kelas sebelah. Sepanjang hari penuh bersama murid kelas saya. Seingat saya di tahun ‘70an , guru pusingan di sekolah saya hanyalah guru agama dan Guru Besar sahaja.

Sambil menulis di papan hitam saya menghisap rokok. Murid, guru lain dan sesiapa sahaja tak kisah mungkin (kerana) ramai yang tidak menghisap rokok dari yang menghisapnya. Sekolah tiada bekalan letrik tapi tidak pula terasa panas sampai berkuap-kuap macam sekarang. Semua berjalan lancar dan tiada pun ada guru yang merungut apa-apa. Tertekan ke, beban ke, marah-marah ke; semuanya macam biasa saja.

Guru Besar tidak pernah menyuruh saya berbuat apa-apa pun selain dari menulis buku ringkasan, memeriksa buku latihan murid dan mencatat jadual kedatangan. Mudah dan ’simple’. Tiada jawatankuasa Panitia, tiada jawatankuasa kesihatan, tiada jawatankuasa disiplin, tiada dan tiada apa-apa. Yang ada hanya tv pendidikan, itupun kena hidupkan generator baru tv boleh berfungsi. Murid seronok menonton tv, kerana rumah mereka tiada tv..

Mesyuarat hanya diadakan untuk membuat sesuatu acara seperti sukan. Tidak banyak persiapan yang dibuat kerana kebanyakan kerja-kerja persiapan dijalankan oleh orang kampung. Nak Mesyuarat Agung PIBG pun tidak bermesyuarat, hari anugerah pun tidak diadakan, hanya beri hadiah diperingkat kelas sahaja. Kalau ada peperiksaan, guru yang berkaitan dengan Peperiksaan Darjah Lima sahaja yang melakukannya. Yang lain buat kerja masing-masing. Yang saya pernah mesyuarat tunggang langgang ialah apabila PIBG mengadakan pertujukan pentas bagi mengutip derma dengan menjemput Jamal Abdillah (ketika itu belum terkenal sangat lagi) sebagai penyanyi utama. Itu pun kerana penduduk kampung sukakan acara itu.

Senangkan (?) Tidak membebankan kan (?)

Saya tidak pernah dengar arahan dari Kementerian. Saya tidak pernah dengan Pengarah memberi amanat. Saya tidak pernah nampak pegawai dari JPN atau PPD yang datang ke sekolah bertanya itu dan ini. Tidak pernah saya mengumpul apa-apa data pun selain data peperiksaan setengah dan akhir tahun sahaja. Hanya kadang-kadang ada penyelia (PPD) datang bertanya hal-hal berkaitan sekolah dengan Guru Besar. Guru Besar pun jarang bercakap dengan guru / murid sebab perhimpunan pun dihadiri oleh seorang dua guru sahaja. Jam 10.00 pagi Guru Besar saya pergi minum kopi di Pekan Pantai Remis. Arahan hanya datang dari satu pihak sahaja, iaitu pihak sekolah. Semua pihak ketika itu menyerahkan tanggung jawab mengajar kepada guru di kelas. Maka guru di kelas pun buatlah, mengajarlah dengan senang hati. Cukup jam, balik ke rumah periksa buku, buat soalan dan membuat kerja-kerja peribadi dengan senang hati.

Tapi gaji sikit saja.

Hanya selepas KBSR mula dilaksanakan maka guru diberi sedikit penekanan untuk mengalihkan paradigma P&P. Guru dikehendaki menyediakan alat bantu mengajar dengan lebih sistematik. Tetapi masih tidak membebankan kerana alat dibuat sendiri. Tidak banyak yang dapat disediakan, cukup untuk memanipulasi alatan yang sempat dibuat.
Dengan merujuk kepada perkara di atas, persoalannya ialah : Mengapa tugas guru sekarang dikatakan membebankan ?

No comments:

Post a Comment