Monday, June 14, 2010

Zaman Matrikulasi / Pra-U

Kehidupan di Matrikulasi

Selepas mendapat keputusan yang baik dalam SPM 2001, beliau dalam dilema samada hendak meneruskan pengajian ke UIA dalam bidang perubatan atau ke kolej matrikulasi KPM. Pada tahun tersebut merupakan tahun pertama yang menetapkan sesiapa yang telah menerima tawaran matrikulasi KPM, secara automatik namanya akan dipotong daripada senarai UPU, bermaksud sesiapa yang hendak ke universiti terus mestilah tidak menerima tawaran ke matrikulasi. Tetapi perkara ini agak berisiko bagi sesetengah pelajar, jika telah menolak tawaran matrikulasi tetapi tidak berjaya dalam UPU, maka pelajar tersebut terpaksa mencari pusat pengajian lain seperti kolej swasta atau menunggu untuk kemasukan semester II di UiTM. Setelah berfikir panjang dan membuat timbang tara semasak-masaknya, Wan mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian ke Matrikulasi KPM. Antara yang membuatkan beliau kurang yakin untuk terpilih ke UIA adalah kerana keputusan B.Inggeris yang agak kurang cemerlang dalam SPM walaupun berjaya memperolehi 8A secara keseluruhan.

Pada April 2002, beliau telah mendaftar di Kolej Matrikulasi Melaka di Londang, Masjid Tanah, Melaka. Berada jauh daripada keluarga menjadikan beliau lebih matang, tambahan pula beliau telah diserap dalam kumpulan usrah di kolej tersebut. Menyertai kem usrah kali pertama di Kuala Sungai Bharu dan kali kedua di Madrasah An-Nuriah. Pada semester I, beliau berjaya memperolehi keputusan cemerlang dengan PNGS I 3.90 (A Biologi, Kimia dan A- Matematik) dan dianugerahkan Sijil dan Trofi dalam satu majlis khas bagi meraikan pelajar cemerlang semester I sesi 2002/2003. Semester II, beliau terlibat dengan beberapa program JPP seperti Karnival Sukan KMM sebagai Penyelia Pertandingan Squasy. Selain itu, beliau juga terlibat dalam Penganjuran Majlis Makan Malam untuk kumpulan Dinamika Kemahiran serta Perkhemahan Lasak di Kem Bukit Tinggi, Johor. Terlalu aktif dalam aktiviti luar membuatkan tumpuan Wan agak berkurang terhadap akademik membuatkan keputusannya agak merosot dalam Peperiksaan Akhir Semester II iaitu 3.55 (Kimia A, Matematik A-, Biologi B) dan menjadikan PNGK 3.73. Mungkin memang telah ditakdirkan beliau tidak dapat menyambung pengajian ke kursus perubatan.

Zaman Sekolah Menengah (ii)

KEHIDUPAN DI SEKOLAH MENENGAH (Ting 4 & 5)
Pada minggu ketiga persekolahan tahun 2000 (tingkatan 4), Wan telah didaftarkan di SAMBEST. Di SAMBEST, beliau mula belajar kehidupan di asrama. Semasa minggu orientasi, beliau didedahkan dengan cara kehidupan yang lebih berdikari dan peraturan hidup di asrama seperti waktu makan, waktu prep, solat fardhu mestilah didirikan secara berjemaah di surau dan lain-lain. Wan mengalami satu transformasi hidup yang agak besar di sekolah ini, mengalami pengalaman-pengalaman hidup yang lebih mematangkan. Pada awal persekolah di SAMBEST, beliau agak sukar bersaing dengan kawan-kawan lain terutamanya yang telah biasa dengan kehidupan asrama sebelumnya. Tetapi berkat kesungguhan dan kerajinan beliau dengan diiringi motivasi daripada sahabat sekelas seperti Fathir, Najib dan Firdaus Harun pencapaian Wan semakin meningkat dan menjadi antara pelajar yang cemerlang di dalam kelas 4 Sains 2. Dalam ko-kurikulum, beliau terlibat dengan firqah basrah (forum BM, tarik tali dan softball), Persatuan Bahasa Melayu selain menjadi AJK Biro 3K (Kebersihan, Keceriaan & Kekemasan) Pengawas yang diketuai oleh Moh Azarin. Bi’ah di SAMBEST sangat baik pada waktu itu, kuliah Maghrib diadakan setiap hari, disampaikan oleh guru-guru warden seperti Ust Khairuzzaman, Ust Bad, Ust Zamri dan yang paling kerap dan rapat dengan pelajar Ust Ismail Musytari.
Semasa berada di tingkatan 5, Wan telah dipilih sebagai Setiausaha Persatuan Agama Islam (PAI). Melalui persatuan ini, beliau dapat belajar banyak perkara mengenai organisasi, membuat minit mesyuarat, kertas kerja dan lain-lain kemahiran berkaitan organisasi. Antara program yang dianjurkan oleh PAI pada tahun tersebut adalah Program Praktikal Penyembelihan dan Minggu Penghayatan Islam. Selain terlibat dengan aktiviti persatuan, pada tahun tersebut juga beliau telah menyertai Seminar Menjelang Ambang Peperiksaan (SMAP) anjuran PEPIAS UIA khusus untuk pelajar Tingkatan 5. Banyak perkara menarik dan pengalaman yang telah diperolehi beliau dalam program motivasi tersebut. Setelah berhempas pulas belajar dengan penuh kesungguhan dan kegigihan, Wan berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan pertengahan tahun Tingkatan 5 dan ditempatkan di kelas 5 Sains 1 (Al-Razi) bersama pelajar-pelajar elit sekolah tersebut. Beliau terus mengekalkan kecemerlangan apabila berjaya memperolehi 9A semasa percubaan SPM dan 8A dalam SPM 2001.

A1 = B.Melayu, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Biologi,
Pendidikan Quran & Sunnah.
A2 = Fizik, Sejarah, Pendidikan Syariah Islam
B3 = Kimia, Bahasa Arab Tinggi
C5 = B. Inggeris

Zaman Sekolah Menengah (i)

KEHIDUPAN DI SEKOLAH MENENGAH (sehingga PMR)

Selepas tamat sekolah rendah, Wan meneruskan pengajiannya ke sekolah menengah. Beliau memilih sekolah aliran agama JAIS, iaitu Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah, Kanchong Darat. Sekolah aliran agama JAIS mempunyai cabaran yang berbeza daripada sekolah menengah biasa kerana selain tambahan subjek Bahasa Arab Komunikasi, terdapat juga beberapa subjek tambahan silibus Al-Azhar seperti Tafsir & Hadis, Sirah, Feqah dan subjek lain. Oleh kerana bebanan akademik yang lebih daripada sekolah harian biasa, maka aktiviti ko-kurikulum berbentuk sukan adalah kurang dijalankan di sekolah ini. Semasa di tingkatan 1 Nilam, beliau belum cukup memahami konsep belajar di sekolah menengah mengakibatkan beliau agak leka dan kurang serius dalam mendalami ilmu yang diajar oleh guru. Sahabat rapatnya di kelas pada waktu itu adalah Faizal Jamil dan Suhairi. Beliau pergi ke sekolah dengan menaiki basikal dengan ditemani oleh seorang lagi sahabat karibnya iaitu Asmawi. Sebelum memiliki basikal, beliau dihantar ke sekolah oleh ayah atau bapa saudaranya, Allahyarham Raja Hizam. Jarak antara rumahnya di Banting dengan sekolah tersebut adalah lebih kurang 6 kilometer. Pelbagai kenangan pahit dan manis yang telah dilalui oleh Wan pada tahun pertama di sekolah menengah. Oleh kerana leka dan tidak serius dalam pelajaran, beliau mendapat markah yang agak rendah dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan 1 (1997).
Pada tahun 1998, beliau berada di Tingkatan 2 dan pada waktu itu beliau mula serius dengan akademiknya. Duduk di sebelah Zulhazidan yang berasal dari Kampung Batu Laut. Pada peperiksaan pertengahan tahun, beliau mula menunjukkan prestasi yang agak baik apabila berjaya mendapat tempat ke 5 dalam kelas 2 Nilam. Semakin hari beliau semakin fokus dengan akademik dan sering mendapat pujian dari guru-gurunya. Prestasi akademiknya semakin baik menjelang hujung tahun, apabila berjaya mendapat tempat ke 3 dalam Peperiksaan Akhir Tahun 1998 dan seterusnya melayakkan beliau masuk ke kelas pertama di tingkatan 3 iaitu kelas 3 Fairuz. Sebelum itu, antara peristiwa besar yang berlaku pada tahun 1998 adalah pemecatan Timbalan Perdana Menteri / Menteri Kewangan iaitu Dato’ Sri Anwar Ibrahim, Kebangkitan suara rakyat melalui Reformasi, Piala Dunia Bola Sepak di Perancis, Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel dan kematian Puteri Diana dalam satu kemalangan ngeri yang misteri.
Semasa di Tingkatan 3, Wan semakin rajin dalam pelajaran. Selain itu, beliau juga menjadi seorang anak yang baik kepada kedua ibu bapanya dengan sering membantu kerja-kerja rumah seperti membasuh baju dan sebagainya. Selepas berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan pertengahan tahun yang melayakkan beliau mendapat tempat ketiga dalam kelas, beliau diberi kepercayaan oleh guru Sainsnya, Puan Oziah bagi mewakili sekolah ke Kuiz Sains Sekolah Agama JAIS di SAM Batu 10, Hulu Langat bersama-sama rakan sekelas yang pintar seperti Anhar, Ali dan seorang lagi pelajar perempuan. Pasukan SAMUSKD telah berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini. Kemudian perjuangan dalam pelajaran diteruskan lagi sehingga beliau berjaya mendapat 7A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Dengan keputusan yang cemerlang itu beliau telah berjaya mendapat tempat di Sekolah Berasrama JAIS iaitu Sekolah Agama Menengah Bestari, (SAMBEST) di USJ 5, Subang Jaya.

Zaman Sekolah Rendah

Tahun 1991, Wan Saiful mula didaftarkan di sekolah rendah bersama rakan sebayanya yang lain, Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Langat menjadi sekolah pertama bagi Wan Saiful secara rasminya. Tetapi, masalah yang sama berlaku semasa zaman tadikanya berulang, Wan Saiful amat payah untuk disuruh bersekolah. Beliau yang ketika itu baru mencecah usia 7 tahun hanya akan ke sekolah jika ditemani oleh samada bapanya, ibunya atau saudara terdekatnya yang lain. Ketika itu namanya telah mulai popular di sekolah tersebut disebabkan perangainya itu. Semasa darjah 2 dan 3 agak kurang masalah itu berlaku, tetapi pada pertengahan darjah 4, selepas kematian datuk dan nenek yang dikasihi, Raja Bazian Bin Raja Heran (27 April 1994) dan Raja Raihah Binti Raja Yaakob (5 Januari 1994) ‘penyakit’ tidak mahu ke sekolah kembali lagi pada Wan Saiful. Kali ini agak hebat cabarannya, sehinggakan beliau pernah dipujuk oleh Guru Besar dan duduk seharian bersama Guru Besar SRK Sri Langat ketika itu, Mohd Yusof Bin Sanib di biliknya, semata-mata untuk mengatasi masalah tidak mahu ke sekolah yang dihadapinya. Pada tahun itu juga, bapanya telah mengambil tindakan memindahkan Wan Saiful ke sekolah tempat beliau bertugas sebagai Penyelaras Pusat Kegiatan Guru di Sekolah Kebangsaan Batu Laut, dan Wan Saiful sempat bersekolah di situ selama lebih kurang sebulan lebih sebelum dipindahkan kembali ke Sekolah Kebangsaan Sri Langat kerana bapanya akan dihantar berkursus dalam jangkamasa yang agak lama.
Berada dalam darjah 6 adalah antara waktu yang paling menyeronokkan dalam zaman persekolahan Wan Saiful, kerana ketika ini beliau telah mula berdikari dan seronok dengan persekolahan, kawan-kawan yang semakin ramai. Pada pertengahan darjah 6 ini juga Wan Saiful telah terlibat dalam kem yang pertama dalam hidupnya, Kem Waja Diri yang dianjurkan julung-julung kali oleh sekolah tersebut dan ini juga adalah program pertama yang memisahkan beliau dengan keluarganya walaupun hanya untuk 4 hari dan 3 malam, tetapi itu amat menyeksakan bagi Wan Saiful yang begitu manja dengan keluarganya. Sepanjang program tersebut, Wan Saiful telah menitiskan airmata beberapa kali kerana terkenangkan keluarganya. Apapun, program tersebut telah banyak memberi pengalaman baru kepadanya. Tahun ini juga merupakan tahun bagi beliau menghadapi peperiksaan UPSR, dan alhamdulillah dengan berkat doa dan usaha beliau dapat mencapai keputusan yang agak baik. Keputusan UPSR beliau adalah 2A 2B (A=B.Melayu Pemhaman, Matematik B=B.Melayu Penulisan dan Bahasa Inggeris).

Zaman Sebelum Sekolah

Pada tanggal 26 Mei 1984 lahirlah seorang bayi comel kepada pasangan Mohamed Bin Hashim dan Raja Jemaah Rodzah Binti Raja Bazian di sebuah rumah teres beralamat no 7, Lorong Merpati 10, Taman Setia Jaya, Banting (Rumah Raja Bazian B Raja Heran dan isterinya, Raja Raihah Bt Raja Yaacob). Bayi tersebut dinamakan Wan Saiful Anuar Bin Mohamed. Pada ketika itu, kedua ibu bapa Wan menetap di Klang. Bapanya, En. Mohamad Bin Hashim (Cikgu Mad) bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Jalan Yadi. Klang, manakala ibunya sebagai suri rumah sepenuh masa. Oleh kerana pada masa tersebut pasangan Cikgu Mad dan Raja Jemaah telah mempunyai 3 orang anak lelaki yang juga masih kecil (Wan Shahrul Nizam, Wan Khairul Azlan, Wan Fadzli), maka Wan Saiful diserahkan kepada adik ke 5 Raja Jemaah, iaitu Raja Raihan yang ketika itu masih belum berkahwin dan menetap bersama kedua ibu bapanya di Banting. Walaupun Wan Saiful dijaga oleh makciknya, tetapi Cikgu Mad dan Raja Jemaah kerap kali berkunjung dan melawat anaknya yang comel itu, boleh dikatakan hampir setiap minggu pasangan itu akan datang ke Banting menjenguk anaknya, dalam masa yang sama dapat juga menziarahi kedua ibu bapa Raja Jemaah.
Hari berganti hari, Wan Saiful makin membesar dan mencecah usia 6 tahun. Seperti kebiasaan, apabila anak telah mencecah usia sebegitu, maka ibu bapanya akan menghantar ke sekolah tadika, begitu juga dengan Cikgu Mad dan Raja Jemaah, mereka yang ketika itu telah berpindah ke Banting berhasrat menghantar Wan Saiful untuk bersekolah tadika di belakang rumah mereka. Tetapi malangnya, Wan Saiful yang mungkin terlalu manja dengan kedua ibubapanya cuma bertahan selama 3 hari sahaja di sekolah tersebut, itu pun dengan ditemani oleh abangnya, Wan Khairul Azlan. Apabila abangnya hendak balik, maka dia pun ingin ikut sekali tanpa menghiraukan Cikgu yang sedang mengajar di depan kelas. Begitulah sikap Wan Saiful semasa kecil, amat susah untuk berpisah daripada keluarganya walaupun sekejap. Oleh kerana tidak tahan dengan kerenahnya yang terlalu sukar untuk dihantar ke sekolah, maka kedua ibubapanya mengambil keputusan untuk mengajar Wan Saiful di rumahnya sahaja. Ketika itu Cikgu Mad mengajar di Sekolah Kebangsaan Telok Gadong manakala Raja Jemaah berniaga secara kecil-kecilan di rumah kedai Taman Setia Jaya.

Wednesday, June 9, 2010

Nostalgia Cikgu Zaman Dulu..

Sumber : http://www.gurubesarpencen.com/?cat=18

Guru yang tidak membebankan

Seronok sungguh. Di sana sini, dari guru hingga ke menteri memperkatakan mengenai beban guru. Melingkar-lingkar fikiran membayangi berbagai pendapat dan andaian mengenainya. Adakah ini perkara baru ?. Apakah guru dahulu tidak dibebankan ? Jika dibuat perbandingan tugas guru sekarang dan tugas guru dahulu sudah cukup untuk menjawab soalan-soalan di atas.

Sebelum pelaksanaan KBSR, saya mengajar di sesi petang. Bangun tidur hari sudah meninggi. Singgah di kedai sebelum ke sekolah untuk bersarapan tengahari. Masih bujang. Seingat saya tiada apapun yang saya bawa dalam peti motosikal Vespa saya, Mungkin (kalau ada) kasut getah untuk bermain sepak takraw selepas sekolah nanti. Mungkin juga terselit dua batang pen dipoket, satu merah dan satu lagi biru. Tiada ada lain-lain bekalan selain daripada bekalan kegunaan peribadi.

Sampai di sekolah pun begitu juga. Mencapai buku ringkasan dan dua tiga buah buku terus masuk ke kelas dan mengajar. Buku panduan memang ada dan ada sedikit-sedikit buku teks murid. Begitulah seharian mengajar. Rehat hanya waktu rehat dan waktu guru agama masuk kelas saya. Waktu Bahasa Inggeris di kelas saya, saya mengajar Bahasa Melayu di kelas sebelah. Sepanjang hari penuh bersama murid kelas saya. Seingat saya di tahun ‘70an , guru pusingan di sekolah saya hanyalah guru agama dan Guru Besar sahaja.

Sambil menulis di papan hitam saya menghisap rokok. Murid, guru lain dan sesiapa sahaja tak kisah mungkin (kerana) ramai yang tidak menghisap rokok dari yang menghisapnya. Sekolah tiada bekalan letrik tapi tidak pula terasa panas sampai berkuap-kuap macam sekarang. Semua berjalan lancar dan tiada pun ada guru yang merungut apa-apa. Tertekan ke, beban ke, marah-marah ke; semuanya macam biasa saja.

Guru Besar tidak pernah menyuruh saya berbuat apa-apa pun selain dari menulis buku ringkasan, memeriksa buku latihan murid dan mencatat jadual kedatangan. Mudah dan ’simple’. Tiada jawatankuasa Panitia, tiada jawatankuasa kesihatan, tiada jawatankuasa disiplin, tiada dan tiada apa-apa. Yang ada hanya tv pendidikan, itupun kena hidupkan generator baru tv boleh berfungsi. Murid seronok menonton tv, kerana rumah mereka tiada tv..

Mesyuarat hanya diadakan untuk membuat sesuatu acara seperti sukan. Tidak banyak persiapan yang dibuat kerana kebanyakan kerja-kerja persiapan dijalankan oleh orang kampung. Nak Mesyuarat Agung PIBG pun tidak bermesyuarat, hari anugerah pun tidak diadakan, hanya beri hadiah diperingkat kelas sahaja. Kalau ada peperiksaan, guru yang berkaitan dengan Peperiksaan Darjah Lima sahaja yang melakukannya. Yang lain buat kerja masing-masing. Yang saya pernah mesyuarat tunggang langgang ialah apabila PIBG mengadakan pertujukan pentas bagi mengutip derma dengan menjemput Jamal Abdillah (ketika itu belum terkenal sangat lagi) sebagai penyanyi utama. Itu pun kerana penduduk kampung sukakan acara itu.

Senangkan (?) Tidak membebankan kan (?)

Saya tidak pernah dengar arahan dari Kementerian. Saya tidak pernah dengan Pengarah memberi amanat. Saya tidak pernah nampak pegawai dari JPN atau PPD yang datang ke sekolah bertanya itu dan ini. Tidak pernah saya mengumpul apa-apa data pun selain data peperiksaan setengah dan akhir tahun sahaja. Hanya kadang-kadang ada penyelia (PPD) datang bertanya hal-hal berkaitan sekolah dengan Guru Besar. Guru Besar pun jarang bercakap dengan guru / murid sebab perhimpunan pun dihadiri oleh seorang dua guru sahaja. Jam 10.00 pagi Guru Besar saya pergi minum kopi di Pekan Pantai Remis. Arahan hanya datang dari satu pihak sahaja, iaitu pihak sekolah. Semua pihak ketika itu menyerahkan tanggung jawab mengajar kepada guru di kelas. Maka guru di kelas pun buatlah, mengajarlah dengan senang hati. Cukup jam, balik ke rumah periksa buku, buat soalan dan membuat kerja-kerja peribadi dengan senang hati.

Tapi gaji sikit saja.

Hanya selepas KBSR mula dilaksanakan maka guru diberi sedikit penekanan untuk mengalihkan paradigma P&P. Guru dikehendaki menyediakan alat bantu mengajar dengan lebih sistematik. Tetapi masih tidak membebankan kerana alat dibuat sendiri. Tidak banyak yang dapat disediakan, cukup untuk memanipulasi alatan yang sempat dibuat.
Dengan merujuk kepada perkara di atas, persoalannya ialah : Mengapa tugas guru sekarang dikatakan membebankan ?

Sajak Sempena hari Guru

Sumber : http://www.gurubesarpencen.com/?p=870

Aku yang membuat kesemuanya....

Hari ini aku memegang penyapu, menyapu dan mengajar menyapu, kerana aku seorang guru, bukan seorang tukang sapu..

Hari ini aku mengadili pertuduhan, meleraikan pergaduhan, kerana aku seorang guru, bukan seorang mejistret yang penuh dengan imbuhan..

Hari ini aku merawat kepala, membalut luka, kerana aku seorang guru, bukan seorang doktor berpendidikan luar negara..

Hari ini aku berhujah, melerai kata waris yang berbisa, kerana aku seorang guru, bukan sorang peguam yang pandai bicara..

Aku seorang guru yang memakai semua dan apa saja topi . terima kasih kepada kekawan , seorang guru biasa..