Monday, June 14, 2010

Zaman Sekolah Menengah (ii)

KEHIDUPAN DI SEKOLAH MENENGAH (Ting 4 & 5)
Pada minggu ketiga persekolahan tahun 2000 (tingkatan 4), Wan telah didaftarkan di SAMBEST. Di SAMBEST, beliau mula belajar kehidupan di asrama. Semasa minggu orientasi, beliau didedahkan dengan cara kehidupan yang lebih berdikari dan peraturan hidup di asrama seperti waktu makan, waktu prep, solat fardhu mestilah didirikan secara berjemaah di surau dan lain-lain. Wan mengalami satu transformasi hidup yang agak besar di sekolah ini, mengalami pengalaman-pengalaman hidup yang lebih mematangkan. Pada awal persekolah di SAMBEST, beliau agak sukar bersaing dengan kawan-kawan lain terutamanya yang telah biasa dengan kehidupan asrama sebelumnya. Tetapi berkat kesungguhan dan kerajinan beliau dengan diiringi motivasi daripada sahabat sekelas seperti Fathir, Najib dan Firdaus Harun pencapaian Wan semakin meningkat dan menjadi antara pelajar yang cemerlang di dalam kelas 4 Sains 2. Dalam ko-kurikulum, beliau terlibat dengan firqah basrah (forum BM, tarik tali dan softball), Persatuan Bahasa Melayu selain menjadi AJK Biro 3K (Kebersihan, Keceriaan & Kekemasan) Pengawas yang diketuai oleh Moh Azarin. Bi’ah di SAMBEST sangat baik pada waktu itu, kuliah Maghrib diadakan setiap hari, disampaikan oleh guru-guru warden seperti Ust Khairuzzaman, Ust Bad, Ust Zamri dan yang paling kerap dan rapat dengan pelajar Ust Ismail Musytari.
Semasa berada di tingkatan 5, Wan telah dipilih sebagai Setiausaha Persatuan Agama Islam (PAI). Melalui persatuan ini, beliau dapat belajar banyak perkara mengenai organisasi, membuat minit mesyuarat, kertas kerja dan lain-lain kemahiran berkaitan organisasi. Antara program yang dianjurkan oleh PAI pada tahun tersebut adalah Program Praktikal Penyembelihan dan Minggu Penghayatan Islam. Selain terlibat dengan aktiviti persatuan, pada tahun tersebut juga beliau telah menyertai Seminar Menjelang Ambang Peperiksaan (SMAP) anjuran PEPIAS UIA khusus untuk pelajar Tingkatan 5. Banyak perkara menarik dan pengalaman yang telah diperolehi beliau dalam program motivasi tersebut. Setelah berhempas pulas belajar dengan penuh kesungguhan dan kegigihan, Wan berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan pertengahan tahun Tingkatan 5 dan ditempatkan di kelas 5 Sains 1 (Al-Razi) bersama pelajar-pelajar elit sekolah tersebut. Beliau terus mengekalkan kecemerlangan apabila berjaya memperolehi 9A semasa percubaan SPM dan 8A dalam SPM 2001.

A1 = B.Melayu, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Biologi,
Pendidikan Quran & Sunnah.
A2 = Fizik, Sejarah, Pendidikan Syariah Islam
B3 = Kimia, Bahasa Arab Tinggi
C5 = B. Inggeris

No comments:

Post a Comment