Monday, June 14, 2010

Zaman Sekolah Menengah (i)

KEHIDUPAN DI SEKOLAH MENENGAH (sehingga PMR)

Selepas tamat sekolah rendah, Wan meneruskan pengajiannya ke sekolah menengah. Beliau memilih sekolah aliran agama JAIS, iaitu Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah, Kanchong Darat. Sekolah aliran agama JAIS mempunyai cabaran yang berbeza daripada sekolah menengah biasa kerana selain tambahan subjek Bahasa Arab Komunikasi, terdapat juga beberapa subjek tambahan silibus Al-Azhar seperti Tafsir & Hadis, Sirah, Feqah dan subjek lain. Oleh kerana bebanan akademik yang lebih daripada sekolah harian biasa, maka aktiviti ko-kurikulum berbentuk sukan adalah kurang dijalankan di sekolah ini. Semasa di tingkatan 1 Nilam, beliau belum cukup memahami konsep belajar di sekolah menengah mengakibatkan beliau agak leka dan kurang serius dalam mendalami ilmu yang diajar oleh guru. Sahabat rapatnya di kelas pada waktu itu adalah Faizal Jamil dan Suhairi. Beliau pergi ke sekolah dengan menaiki basikal dengan ditemani oleh seorang lagi sahabat karibnya iaitu Asmawi. Sebelum memiliki basikal, beliau dihantar ke sekolah oleh ayah atau bapa saudaranya, Allahyarham Raja Hizam. Jarak antara rumahnya di Banting dengan sekolah tersebut adalah lebih kurang 6 kilometer. Pelbagai kenangan pahit dan manis yang telah dilalui oleh Wan pada tahun pertama di sekolah menengah. Oleh kerana leka dan tidak serius dalam pelajaran, beliau mendapat markah yang agak rendah dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan 1 (1997).
Pada tahun 1998, beliau berada di Tingkatan 2 dan pada waktu itu beliau mula serius dengan akademiknya. Duduk di sebelah Zulhazidan yang berasal dari Kampung Batu Laut. Pada peperiksaan pertengahan tahun, beliau mula menunjukkan prestasi yang agak baik apabila berjaya mendapat tempat ke 5 dalam kelas 2 Nilam. Semakin hari beliau semakin fokus dengan akademik dan sering mendapat pujian dari guru-gurunya. Prestasi akademiknya semakin baik menjelang hujung tahun, apabila berjaya mendapat tempat ke 3 dalam Peperiksaan Akhir Tahun 1998 dan seterusnya melayakkan beliau masuk ke kelas pertama di tingkatan 3 iaitu kelas 3 Fairuz. Sebelum itu, antara peristiwa besar yang berlaku pada tahun 1998 adalah pemecatan Timbalan Perdana Menteri / Menteri Kewangan iaitu Dato’ Sri Anwar Ibrahim, Kebangkitan suara rakyat melalui Reformasi, Piala Dunia Bola Sepak di Perancis, Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel dan kematian Puteri Diana dalam satu kemalangan ngeri yang misteri.
Semasa di Tingkatan 3, Wan semakin rajin dalam pelajaran. Selain itu, beliau juga menjadi seorang anak yang baik kepada kedua ibu bapanya dengan sering membantu kerja-kerja rumah seperti membasuh baju dan sebagainya. Selepas berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan pertengahan tahun yang melayakkan beliau mendapat tempat ketiga dalam kelas, beliau diberi kepercayaan oleh guru Sainsnya, Puan Oziah bagi mewakili sekolah ke Kuiz Sains Sekolah Agama JAIS di SAM Batu 10, Hulu Langat bersama-sama rakan sekelas yang pintar seperti Anhar, Ali dan seorang lagi pelajar perempuan. Pasukan SAMUSKD telah berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini. Kemudian perjuangan dalam pelajaran diteruskan lagi sehingga beliau berjaya mendapat 7A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Dengan keputusan yang cemerlang itu beliau telah berjaya mendapat tempat di Sekolah Berasrama JAIS iaitu Sekolah Agama Menengah Bestari, (SAMBEST) di USJ 5, Subang Jaya.

No comments:

Post a Comment